


 Sidan g Jumaat yang dirahmati Allah,
g Jumaat yang dirahmati Allah,
 Sekali lagi, umat Islam sedunia dihidangkan dengan pusingan  seterusnya kekejaman regim Zionis ke atas umat Islam dan manusia di bumi  Palestin. Kekejaman yang melampaui batas fikiran manusia, yang tidak  lain dan tidak bukan adalah untuk mengiyakan apa yang diamarankan oleh  al-Quran, tentang fasad besar-besaran pusingan kedua yang dicetuskan  oleh kaum Yahudi ini.
 
 Firman Allah SWT:
 
  “Dan telah Kami nyatakan kepada Bani Israil di  dalam Kitab itu: “Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi  (Palestin) dua kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh  dengan melampau” [al-Israa' 17: 4]
 
 Para ahli Tafsir kontemporari menyetujui bahawa kerosakan pertama  yang dilakukan oleh orang-orang Yahudi ini adalah semasa mastautin  mereka di bumi Yathrib. Mereka menguasai politik, ekonomi dan sosial di  kota tersebut, bongkak dengan impian mereka bahawa Nabi akhir zaman akan  diutuskan sekali lagi daripada keturunan mereka, dan seterusnya  memanfaatkan kebodohan kaum Aus dan Khazraj lalu melaga-lagakan dua  kelompok kaum Arab ini hingga berperang sesama sendiri, mencecah suatu  tempoh yang amat panjang.
 Kerosakan pertama ini mencapai kemuncaknya, apabila mereka secara  rasmi menolak Kenabian Rasul akhir zaman, tatkala tibanya Muhammad bin  Abdullah ke kota Yathrib di dalam peristiwa Hijrah. Meleset sekali  impian mereka, bahawa Allah telah menetapkan bahawa kaum yang banyak  membunuh Nabi dan Rasul ini hilang kebanggaan buta mereka, apabila  penutup segala Nabi dan Rasul, diutuskan daripada kaum Arab berketurunan  Ismail ‘alayhi al-Salaam, iaitulah Junjungan Mulia Nabi Muhammad  sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
 Firman Allah SWT:
 
  “Maka apabila sampai masa janji (membalas  kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami  datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat keras  serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (untuk  menyerang dan mengusir kamu); dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu  janji yang benar-benar berlaku” [al-Israa' 17: 5]
 
 Sidang Jumaat, rahimakumullah…
 Misi menghadapi kaum Yahudi yang tidak pernah jemu menyebarkan  kerosakan di muka bumi biar pun telah diberi peluang berkali-kali oleh  Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, disempurnakan oleh umat Islam  dengan pengusiran mereka dari bumi Khaybar pada bulan Muharram tahun  ke-7H.
 Semenjak itu, kaum Yahudi hidup berpeleseran dan sukar diterima di  mana-mana sahaja penempatan di muka bumi, di bawah mana-mana kuasa  pemerintah, disebabkan oleh perilaku mereka sendiri yang tidak  henti-henti mencetuskan fasad di muka bumi.
 Namun, di sepanjang sejarah itu, kuasa pemerintah Islam jugalah,  dengan keluasan rahmat dan toleransinya menghulurkan bantuan bersyarat  kepada kaum Yahudi, termasuklah semasa mereka berdepan dengan pembunuhan  beramai-ramai di bumi Andalus pada 1492 oleh kuasa Kristian. Kerajaan  Islam Turki Othmaniyyah mempelawa mereka untuk mendapat perlindungan  duduk di bawah pemerintah Islam, tetapi Yahudi tetap Yahudi, mereka  menjadi duri dalam daging hingga akhirnya berperanan sebagai kelompok  terpenting yang menjadi punca kepada kejatuhan kerajaan Turki  Othmaniyyah. Yahudi Donme yang hidup talam dua muka, menjadi lubang  kebocoran bagi negara Islam terakhir itu, hingga legasi Islam ribuan  tahun, tamat secara rasminya pada tahun 1924.
 Sidang Jumaat sekalian,
 Kejatuhan kerajaan Islam terakhir itulah, titik utama kepada  terlepasnya bumi Palestin dari wilayah Islam. Sehingga kini, bumi  Palestin itu terus bermandi darah, setiap anak yang dilahirkan, adalah  seperti sudah tersurat bahawa mereka bakal menjadi mangsa kekejaman  penjajah Zionis yang terus menerus membelakangkan kemanusiaan,  menghancurkan apa dan siapa sahaja yang menghalang cita-cita mereka  untuk menegakkan negara Zionis dari tebing Furat ke Sungai Nil.
 Itulah ’sumbangan’ Yahudi.
 Kerosakan demi kerosakan.
 Dan Allah SWT telah menetapkan, bahawa kitalah pada hari ini yang  berdepan dengan kerosakan besar-besaran pusingan kedua, sebagaimana yang  telah dicatatkan di dalam ayat yang saya bacakan tadi.
 Jamaah kaum Muslimin sekalian,
 Apakah tindakan kita? Apakah cukup dengan hanya menggelengkan kepala,  menanti isu ini pudar daripada siaran media selepas seminggu dua, dan  kemudian menggelengkan kepala lagi untuk pusingan yang seterusnya?
 Sesungguhnya, kita mempunyai 3 bentuk tindakan yang menanti  perlaksanaan.
 Tindakan pertama, adalah dengan MENGECAM.
 Kita boleh dan perlu untuk membuat kecaman. Membantah dan menyuarakan  penentangan kita terhadap kekejaman Yahudi di bumi Palestin. Sama ada  kecaman itu dibuat dalam bentuk demonstrasi, ucapan, khutbah dan  penulisan, kecaman mesti diteruskan.
 Kecaman ini boleh menjustifikasikan sokongan dan kebersamaan kita  dengan saudara-saudara seagama di bumi Palestin. Ia juga menjadi bukti  terhadap kepedulian kita. Ia menjadi tanda bahawa kita bukan terdiri  dari kelompok manusia yang disebutkan oleh Allah dengan perumpamaan  buruk sebagai BINATANG TERNAK.
 Firman Allah SWT:
 
  “Dan Sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka  Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak  mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata  (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang  mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan  nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat  lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai” [al-A'raaf 7: 179]
 
 Binatang ternak tidak pernah peduli kepada pisau yang sedang diasah  untuk menyembelihnya. Binatang ternak hanya memerhatikan rumput dengan  penuh nafsu terhadap perutnya. Binatang ternak adalah perumpamaan kepada  manusia yang diberi mata tidak melihat, diberi telinga tidak mendengar.  Apa yang mereka pedulikan hanyalah lima rukun hidup iaitu MAKAN, MINUM,  KERJA, REHAT dan KAHWIN.
 Semoga dengan kecaman dan bantahan yang dibuat, menjadi saksi di  hadapan Allah, bahawa kita adalah manusia, bukan binatang yang tidak  punya rasa peduli dan peka.
 Namun kecaman bukanlah tindakan yang terbaik oleh seorang mukmin.
 Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda:
 
  Daripada Abu Sa’eed al-Khudri radhiyallahu ‘anhu  beliau berkata: aku mendengar Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam  pernah bersabda: Sesiapa dari kalangan kamu yang melihat kemungkaran,  maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Andai tiada kemampuan  untuk berbuat demikian, maka hendalah dia mengubahnya dengan lisannya.  Dan jika beliau tidak mampu untuk berbuat begitu, maka hendaklah  (dikecam) dengan hatinya. Dan demikian itu adalah selemah-lemah iman  [Hadith riwayat Muslim]
 
 Arahan Nabi Muhammad sallalaahu ‘alayhi wa sallam terhadap tindakan  kita mencegah kemungkaran, bukan sekadar mengingkarinya dengan hati,  atau menegahnya dengan lisan, tetapi bertindak dengan tangan untuk  MENGUBAH keadaan. Tindak balas kita mestilah ada upaya untuk mengubah  keadaan, dan kecaman masih jauh dari mampu mencetuskan perubahan itu.
 Sidang Jumaat rahimakumullaah,
 Tindakan kedua yang mesti kita lakukan untuk bertindak terhadap  kekejaman Yahudi di bumi Palestin adalah selepas MENGECAM adalah  MENCEGAH.
 Mencegah boleh berlaku dalam beberapa bentuk.
 Cegahan pertama adalah pada usaha mengelakkan diri untuk menjadi  mangsa kepada kemungkaran itu. Ia mungkin boleh diertikan sebagai  tindakan untuk berhijrah meninggalkan tempat di mana kemungkaran itu  berlaku.
 Ia mungkin berupaya menyelamatkan diri kita buat sementara, tetapi ia  tidak akan dapat menamatkan kemungkaran itu daripada terus menerus  berleluasa. Dan segala puji bagi Allah, saudara kita di bumi Palestin  tidak bertindak melarikan diri. Jika mereka tidak punya semangat yang  kuat untuk mempertahankan diri dan maruah Islam, sudah pasti mereka  bertempiaran lari menjadi pelarian di bumi asing.
 Namun Allah anugerahkan bumi itu dengan manusia yang kental jiwa.  Mereka terus bertahan. Biar pun hanya dengan lastik dan batu, berundur  tidak sekali-kali! Sama ada menang, atau syahid fi sabillah.
 Mencegah yang kedua pula, boleh diertikan dengan tindakan kita  mengekang diri daripada menjadi sebahagian daripada kemungkaran itu.  Kita harus bertindak untuk menghalang diri daripada menjadi sebahagian  daripada kekuatan regim Yahudi di bumi Palestin. Dan tindakan ini boleh  dijustifikasikan dengan kempen boikot.
 Secara individu, kita boleh menyekat diri daripada menggunakan  barangan dan perkhidmatan syarikat-syarikat yang menyumbang kepada  kekuatan ekonomi regim Yahudi Zionis itu.
 Firman Allah SWT berkenaan dengan hal ini:
 
  “Kemudian, Kami kembalikan kepada kamu (Yahudi)  kekuasaan untuk mengalahkan mereka, dan Kami perpanjangkan kepada kamu  dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta Kami jadikan kamu  kaum yang lebih ramai pasukannya” [Al-Israa' 17: 6]
 
 Di era kerosakan kedua oleh kaum Yahudi ini, Allah SWT menjelaskan  bahawa kekuatan mereka adalah hasil yang diperpanjangkan kepada mereka  berupa harta kekayaan dan sumber tenaga manusia. Ayat ini amat jelas  menunjukkan kepada kita, bahawa regim Yahudi Zionis hari ini menjadi  kuat hasil sokongan luar yang mereka terima.
 Sokongan itu tidak lain dan tidak bukan adalah daripada negara Polis  Dunia iaitu Amerika Syarikat.
 Laporan http://www.ifamericansknew.org  menjelaskan bahawa regim Zionis yang menjajah bumi Palestin menerima  bantuan di antara 10 ke 15 juta US Dollar sehari daripada Amerika  Syarikat. Jumlah ini mengatasi jumlah keseluruhan bantuan Amerika  Syarikat kepada negara-negara Amerika Latin, Sub Sahara Afrika dan  Carribean.
 Kekuatan utama rejim Zionis di Palestin adalah sokongan Amerika  Syarikat. Negara kuasa besar dunia itu berupaya memanipulasi kewangannya  sendiri untuk memberikan sokongan dan bantuan kepada rejim Zionis hasil  kombinasi beberapa pihak, khususnya media di Amerika  Syarikat yang tidak melapor, melapor secara simplistik, atau memberikan  laporan yang salah, untuk mengawal kefahaman penduduk Amerika Syarikat  tentang isu Palestin.
 Maka tindakan memboikot barangan yang menyumbang kepada kekuatan ini,  tindakan menghentikan penggunakan matawang Dollar Amerika Syarikat  adalah tindakan mencegah yang boleh memberikan kesan kepada hal ini,  jika umat Islam dan seluruh warga manusia yang prihatin bersatu padu  menjayakannya.
 Sidang Jumaat sekalian,
 Walau bagaimana pun, tindakan mengecam dan mencegah masih belum  mencapai standard yang ditetapkan oleh Nabi Muhammad sallallaahu ‘alayhi  wa sallam kepada kita. Bahawa kemungkaran mesti menerima tindak balas  yang bersifat MENGUBAH.
 Perubahan itulah yang mesti diperhatikan oleh kita semua.
 Apakah kekalahan demi kekalahan yang menimpa umat Islam selama ini  berlaku tanpa sebab?
 Apakah kejatuhan kuasa Islam hanya disebabkan oleh faktor luar?
 Sesungguhnya mencela kaum Yahudi yang melakukan kerosakan, tidak  lebih daripada sekadar kata pepatah Melayu, SEPERTI MARAHKAN ANJING  MENYALAK BUKIT. Yahudi dan kerosakan sudah sinonim, maka janganlah kita  sekadar marahkan Yahudi, sebaliknya cerminlah diri kita, apakah yang  sedang berlaku kepada umat Islam sendiri?
 Kaum Muslimin rahimakumullaah,
 Menjawab soalan ini, saya teringat kepada apa yang telah diungkapkan  oleh Abu al-Hasan Ali al-Nadawi di dalam bukunya Ila al-Islam Min Jadeed  (Kembali Semula Kepada Islam). Di bawah tajuk “Antara Ilusi dan  Realiti”� (Bayna al-Soorah wa al-Haqiqah)�, al-Nadwi telah memberikan  suatu analogi yang sangat baik untuk difikirkan bersama.
 Al-Nadwi membayangkan bagaimana seorang pemimpin hebat yang telah  mati, dikenang oleh pengikutnya dengan membina sebuah patung yang besar  dan amat menyerupai rupa pemimpin itu semasa hayatnya. Tetapi pada suatu  hari, seekor burung datang bertenggek di atas hidung “pemimpin”tersebut  dan melepaskan najisnya. Patung yang besar dan gagah itu tidak mampu  berbuat apa-apa terhadap burung yang kecil itu, walaupun di kaki patung  itu terpahat nama seorang pemimpin yang semasa hidupnya digeruni kawan  dan lawan.
 Mengapakah keadaan itu boleh berlaku? Mengapakah pemimpin yang hebat  itu terhina hanya oleh perilaku seekor burung yang kecil?
 Al-Nadawi mengulas analogi ini dengan mengemukakan konsep ilusi  versus realiti.
 Patung itu walaupun besar, gagah dan hebat, malah mewakili peribadi  seorang pemimpin yang agung semasa hidupnya, adalah hanya “seorang  patung”. Ia hanya sebuah gambaran. Sebuah ilusi. Manakala burung  tersebut, walaupun kecil dari segi saiznya, ia adalah burung yang hidup.  Burung itu walaupun kecil, namun ia adalah realiti.
 Sunnatullah telah menetapkan bahawa realiti sentiasa mengalahkan  ilusi.
 Beginilah perihalnya kita ketika berhadapan dengan musuh.
 Jika kita membuka lembaran al-Quran dan mengkaji tentang Yahudi, maka  kita akan dapati bahawa keterangan al-Quran tentang karakter Yahudi  amat selaras. Kelakuan penakut mereka yang hanya membolehkan mereka  menyerang di sebalik tembok, sifat takabbur, dendam kesumat terhadap  orang-orang yang beriman, semuanya menepati realiti. Maka orang-orang  Yahudi hari ini adalah orang Yahudi sejati. Pertembungan kita dengan  Yahudi adalah pertembungan kita dengan sebuah realiti.
 Jika kita membaca al-Quran dan meneliti ayat-ayat tentang Nasrani,  kita akan dapati bahawa orang-orang Kristian hari ini amat menepati  watak mereka seperti yang digambarkan oleh al-Quran. Maka orang-orang  Kristian hari ini adalah orang Nasrani sejati. Mereka adalah realiti.  Pertembungan kita terhadap mereka adalah pertembungan kita dengan sebuah  realiti.
 Namun, jika kita amati keterangan al-Quran tentang ciri-ciri orang  Islam dan Mukmin, apakah hasil pengamatan kita itu?
 Al-Quran menjelaskan bahawa orang-orang Mukmin itu bersaudara.  Al-Quran juga menjelaskan bahawa orang Mukmin itu saling menjadi  pembantu kepada Mukmin yang lain. Orang Mukmin bersatu padu berpegang  dengan tali Allah, mereka tidak berpecah belah ketika mendirikan agama,  mereka pengasih sesama mereka dan keras terhadap Kuffar dan pelbagai  lagi senarai ciri Mukmin yang diterangkan oleh al-Quran.
 Namun, perhatikanlah realiti umat Islam hari ini. Berapakah jarak di  antara diri idaman mereka seperti yang digambarkan al-Quran, dengan diri  sebenar mereka di dalam realiti kehidupan?
 Muslim ilusi berdepan dengan Nasrani realiti.
 Muslim ilusi berdepan dengan Yahudi realiti.
 Realiti sentiasa mengalahkan ilusi.
 Ramainya kita hanyalah sebuah ilusi. Hakikatnya kita sedikit, dan  jumlah itu semakin sedikit apabila saudara-saudara kita  berbondong-bondong murtad meninggalkan kita.
 Kayanya kita hanyalah sebuah ilusi. Hakikatnya kita miskin. Kita  miskin jiwa, miskin daya juang dan kemiskinan itu semakin miskin apabila  saudara-saudara kita tidak mampu mengawal jual beli harta mereka  sendiri yang selama ini mengkayakan musuh.
 Cerdiknya kita hanyalah sebuah ilusi. Hakikatnya kita bodoh. Kita  masih dibelenggu oleh persoalan-persoalan yang bodoh dan tidak langsung  menghasilkan sebarang hasil. Kebodohan kita menjadi semakin bodoh  apabila kita tenggelam dalam tajuk-tajuk debat sesama kita yang langsung  tidak menggambarkan yang kita sedang berada di medan perang.
 Bersatunya kita hanyalah sebuah ilusi. Hakikatnya kita berpecah.  Hati-hati kita terlalu mudah untuk diungkaikan ikatannya. Penyakit hati  kita sangat menjijikkan. Berpecah belah hanya kerana secawan kopi. Pecah  belah rumahtangga, pecah belah jiran tetangga, pecah belah masyarakat  sedesa, pecah belah antara negara, perpecahan kita dari hujung daun  hingga ke akar umbi.
 Ya, jika al-Quran yang menjadi pengukurnya, maka Yahudi di Palestin  itu adalah realiti. Nasrani di Rumah Putih itu adalah realiti. Namun  umat Islam yang mengelilingi Rumah Hitam di Masjidil Haram itu hanyalah  ilusi. Dan ilusi akan terus dikalahkan oleh realiti.
 Selagi kita tidak berusaha untuk membentuk diri menjadi Mukmin  sejati, selagi itulah kita tidak akan diizinkan oleh Allah untuk melihat  pembebasan Palestin dan Masjidil Aqsa.
 Tragedi di Gaza adalah seruan Allah untuk kita kembali kepada Islam.
 Islam yang tulen.
 Ibu bapa didiklah anak menjadi Muslim, jangan dibiarkan mereka  menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.
 Kenalkan kepada anak-anak kita apa itu Islam dan apa itu Jahiliyyah.  Fahamkan mereka siapa Yahudi dan Nasrani dan mengapa mereka dikutuk  Allah. Ajarlah anak-anak mencintai kebenaran, keadilan dan memusuhi  kezaliman. Agar dengan jiwa tulen seorang putera Muslim dan puteri  Muslimah, Yahudi tulen akan dikalahkan oleh Muslim tulen.
 
  “Dan jika kamu kembali, maka Kami pula akan  kembali ..” [al-Israa' 17: 8]
 
 Kembalilah kepada Allah, agar Allah kembali  kepada kita dengan bantuan dan kemenangan!
 
 Sumber :- www.saifulislam.com (Allahu yubaarik fiih)